SG4: Antara angan-angan KDNK ratusan bilion ringgit dan air meleleh di paip rakyat

ANALISIS

KETUA Pegawai Eksekutif SG4 Group Sdn Bhd, Dr. Haim Hilman Abdullah, ketika membentangkan pelan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang dengan memaparkan gagasan SG4 akan mampu mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM723.75 bilion menjelang tahun 2050.

Angka ini bermakna ekonomi wilayah tersebut perlu melonjak sebanyak 5.43 kali ganda daripada nilai semasa yang sekadar berada pada paras RM133.35 bilion.

Namun, di sebalik angka-angka kosmetik yang gah dilaungkan ini, tersedak sebuah realiti yang amat pahit. Apabila unjuran politik ini diukur menggunakan neraca logik matematik dan sains ekonomi, sasaran Dr. Haim Hilman bukan sahaja tidak realistik, malah kelihatan seperti satu lagi episod dongeng “angan-angan Mat Jenin” zaman moden.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaparkan KDNK semasa bagi setiap negeri SG4 berada kedudukan sangat sederhana: Kedah mencatatkan RM56.3 bilion, Terengganu RM40.6 bilion, Kelantan RM29.78 bilion, dan Perlis pula hanya RM6.68 bilion.

Untuk membolehkan gabungan ekonomi ini mencecah RM723.75 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang, SG4 wajib mencatatkan kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sekurang-kurangnya 7% secara konsisten setiap tahun tanpa gagal.

Persoalannya, dari mana datangnya keajaiban 7% itu? Hakikatnya, mengikut unjuran prestasi ekonomi tahun 2025, Kedah dan Kelantan masing-masing dianggarkan bertumbuh sekitar 4.1%, Perlis pada kadar 2.0%, manakala Terengganu merosot sehingga sekadar 1.6%.

Semua angka realiti ini berada jauh di bawah garis sasaran 7%. Malah, sasaran pertumbuhan ekonomi untuk seluruh negara Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pun hanya diletakkan secara pragmatik antara 4.5% hingga 5.5% setahun. Maka, logik akal mana yang boleh kita pakai untuk percaya bahawa SG4—yang didominasi negeri berasaskan pertanian dan industri asas—mampu mencatatkan pertumbuhan luar biasa melebihi paras KDNK nasional secara berterusan?

Negeri-negeri yang terbukti mempunyai struktur ekonomi yang kukuh untuk mencatatkan KDNK tinggi dan memacu pertumbuhan melebihi purata nasional lazimnya ialah Selangor, Johor, Pulau Pinang, atau Sarawak. Ini adalah koridor industri maju, hab pembuatan teknologi tinggi, dan pusat kewangan moden yang mempunyai rekod sejarah ekonomi yang terbukti, berbeza sama sekali dengan acuan SG4.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa di negeri-negeri tersebut kini wujud projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), potensi industri unsur nadir bumi (REE), serta projek pemulihan Loji Rawatan Air (LRA). Namun, hujah bahawa faktor-faktor ini mampu memacu SG4 mencapai sasaran luar biasa RM723.75 bilion adalah sangat rapuh.

Mengikut data unjuran ekonomi, impak ECRL terhadap pertumbuhan KDNK tahunan di kawasan stesen utama secara puratanya dianggarkan sekitar 1.8% sahaja. Sementara itu, industri REE negara pula diunjurkan menyumbang sekitar RM50 bilion menjelang 2035—angka yang masih terlalu kerdil untuk menimbus jurang RM590 bilion yang diperlukan SG4.

Projek LRA yang sedang berjalan juga sekadar berfungsi sebagai usaha pemulihan kemudahan asas yang tertunggak, bukannya satu anjakan paradigma yang mampu menukar struktur ekonomi negeri daripada pertanian tradisional kepada pembuatan termaju secara mendadak.

Dari sudut ekonomi praktikal, unjuran melompat sebanyak 5.43 kali ganda dengan mengekalkan pertumbuhan 7% selama 25 tahun adalah amat sukar kerana rantaian nilai hiliran REE memerlukan pemindahan teknologi global dan kawalan alam sekitar yang sangat ketat sebelum menghasilkan pulangan tinggi.

Malah, status pelaburan tinggi yang diluluskan ketika ini belum diterjemahkan kepada pembukaan pasaran kerja atau operasi kilang yang sebenar. Tanpa asas ketersediaan utiliti bersepadu yang matang dan pembiayaan modal yang agresif, impak ECRL dan REE hanya akan bertindak sebagai penyokong pertumbuhan linear (biasa). Ini membuktikan bahawa sasaran RM723 bilion tersebut kekal sebagai angka aspirasi politik yang tidak berpijak di bumi nyata.

Di sinilah letaknya kepincangan utama keutamaan pemimpin SG4. Bagaimana mungkin sesebuah wilayah mahu bercakap tentang lonjakan ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit, sedangkan keperluan paling asas rakyatnya masih gagal diselesaikan? Isu kemudahan asas, terutamanya kemelut bekalan air bersih, sepatutnya menjadi agenda nombor satu yang diselesaikan dahulu sebelum berkhayal tentang tahun 2050.

Krisis air di Kelantan sudah berlarutan berdekad-dekad lamanya seolah-olah tiada berpenghujung, manakala Kedah pula berhadapan dengan isu rizab margin bekalan air bersih yang kritikal pada paras sifar peratus di sesetengah kawasan.

Kalaulah urusan paip air dan hak asas rakyat untuk mandi serta minum pun belum mampu diselesaikan dengan tuntas, bagaimana mereka mahu meyakinkan pelabur besar untuk membina kilang-kilang pembuatan termaju bernilai tinggi? Pelabur industri pembuatan tidak memerlukan retorik politik; mereka memerlukan jaminan utiliti, elektrik, dan air yang stabil. Tanpa infrastruktur asas yang kukuh, impian pelaburan itu hanyalah sebuah fatamorgana.

Memerintah sebuah negeri atau negara bukan sekadar bijak bercakap di atas pentas atau di dalam dewan berhawa dingin. Memerintah juga bukan sekadar menabur janji-janji manis dengan lembaran slaid pembentangan yang berwarna-warni. Tugas sebenar sebuah kerajaan adalah merealisasikan kehidupan rakyat yang terkini supaya menjadi lebih sejahtera, selesa, dan bermaruah terlebih dahulu. Selesaikan dahulu masalah air Kelantan, pulihkan infrastruktur Kedah, tingkatkan pendapatan petani Perlis, dan kukuhkan ekonomi Terengganu berasaskan realiti semasa.

Tunaikan tanggungjawab asas ini sekarang, barulah orang kita tidak menganggap pelan ekonomi SG4 tersebut sekadar angan-angan kosong untuk mengaburi mata rakyat daripada kegagalan tadbir urus yang nyata. Keberhasilan sesebuah kepimpinan diukur pada paip air rakyat yang mengalir jernih hari ini, bukannya pada angka RM723 bilion di awan-awangan 25 tahun akan datang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here