Parti Wawasan Negara platform baharu perjuangan politik Hamzah, bakal anggota baharu PN

BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mengumumkan Parti Wawasan Negara akan menjadi platform baharu perjuangan politik beliau.

Ketika berucap di Konvensyen RESET di Tanah Merah, Hamzah berkata, nama parti itu diberikan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

‘’Insha-Allah kami akan mengadakan mesyuarat agung pertama minggu depan,’’ katanya.

Beliau berkata, penubuhan parti tersebut bertujuan membawa agenda membina semula negara ke arah yang lebih baik dengan mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memperjuangkan masa depan negara yang lebih berintegriti, dihormati dan sejahtera.

Menurutnya, perjuangan itu bukan untuk satu kaum atau generasi tertentu, sebaliknya diwariskan kepada semua bangsa dan generasi akan datang.

Katanya, keadaan semasa negara yang disifatkan dipimpin oleh pasukan yang bercelaru serta gagal memberi perhatian kepada keperluan rakyat menuntut kepada satu perjuangan baharu yang lebih tersusun dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Jangan takut kepada Pas. Marilah kita bergerak bersama Pas demi membina masa depan negara yang lebih baik. Kita tidak mahu lagi politik yang hanya menjanjikan bulan dan bintang ketika belum menjadi kerajaan, namun apabila berkuasa perjuangan untuk rakyat semakin terpinggir.

“Parti GERAKAN pun datang bersama kita, jadi tidak perlu takut,” katanya.

Beliau berkata, agenda ‘RESET’ yang diperkenalkan akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Bumiputera, Cina dan India amat penting untuk menjamin kestabilan negara pada masa depan.

Katanya, pentadbiran berasaskan nilai moral dan agama mampu melahirkan sebuah kerajaan yang lebih adil serta berintegriti.

Sementara itu pada sidang media, Abdul Hadi menyatakan bahawa  Parti Wawasan Negara telah dipersetujui untuk bersama Perikatan Nasional.

“Pas sudah bersetuju untuk Parti Wawasan Negara bersama kita. Tidak ada masalah. Permohonan mereka dan dokumen berkaitan telah diteliti serta mendapat persetujuan majoriti parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional,” tegas beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img