JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mengiktiraf kad perakuan nikah yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, perkahwinan melibatkan komuniti berkenaan tidak boleh didaftarkan secara rasmi kerana belum ada penyelarasan di peringkat negeri.
Menurut beliau, meskipun terdapat kes perkahwinan yang memenuhi rukun nikah dari sudut hukum syarak, ia tetap tidak diiktiraf dari segi undang-undang.
“Jika cukup rukun seperti wali dan saksi, dari segi hukum mungkin sah. Namun, dari sudut undang-undang, ia tetap tidak sah kerana tidak didaftarkan secara rasmi,” katanya kepada wartawan di Ipoh hari ini.
Sehubungan itu katanya, jabatan itu sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menangani isu pendaftaran perkahwinan dalam kalangan pelarian Rohingya di negeri itu selaras dengan perbincangan yang sedang berlangsung di peringkat kebangsaan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan urusan perkahwinan dalam kalangan komuniti berkenaan dapat diurus secara lebih teratur serta mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kita sedang ke arah memberikan kebenaran kepada pelarian Rohingya untuk berkahwin sesama mereka dan bukan melibatkan rakyat tempatan.
“Mereka perlu mempunyai Dokumen Pengenalan Pelarian (DPP) sebelum perkahwinan boleh dilaksanakan dan didaftarkan. Pendaftaran pula hendaklah dikendalikan oleh pihak berautoriti atau individu yang diberi kuasa oleh pemerintah agama atau Sultan,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme yang sedang diperhalusi itu diharap dapat memberi penyelesaian yang lebih teratur kepada isu perkahwinan komuniti Rohingya tanpa menjejaskan peruntukan undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung status dan kesahihan dokumen berkenaan.






