PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga China yang dipercayai mendalangi kegiatan penipuan dalam talian selepas menyerbu sebuah kawasan belukar di Kampung Siram, Pasir Mas, awal pagi tadi.
Dalam serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu, pihak berkuasa turut merampas 45 unit telefon bimbit, 142 kad sim dan dua kad memori dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM48,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 34 tahun ditahan selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah pada awal pagi tadi.
“Kedua-dua suspek juga disyaki terbabit dalam aktiviti scammer dalam talian berdasarkan penemuan 45 telefon bimbit dan 142 kad sim yang berada dalam milikan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi dan rangkaian kegiatan suspek kini sedang disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah.
“Tangkapan bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“PGA akan terus melaksanakan risikan dan pemantauan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan,” katanya.






