Warga emas pesara KKM dalam perjalanan ke masjid maut dihanyut arus banjir

HASRAT seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun untuk ke masjid tidak kesampaian apabila kereta dipandunya dihanyutkan arus deras banjir sebelum terbalik dan tenggelam di kawasan belukar berhampiran Kampung Kundur Hulu di Pedas malam tadi.

Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke Masjid Kundur Hulu ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah kereta yang terbalik dan tenggelam dalam banjir pada jam 8.50 malam.

Menurutnya, maklumat awal turut memaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kenderaan berkenaan di kawasan semak berhampiran Jalan Dato’ Abd Samad, Kampung Kundur Hulu.

“Pada jam 8.55 malam, pihak polis bersama anggota bomba tiba di lokasi kejadian sebelum pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa, seorang lelaki berusia 74 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Ngiam berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras banjir sehingga terbalik di kawasan belukar sebelum tenggelam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.

Kes ini katanya, diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, mangsa merupakan pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusia 74 tahun meninggal dunia selepas dikatakan terperangkap di dalam Perodua Myvi yang dihanyutkan banjir.

Jurucakap JBPM Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 9.20 malam, berkaitan mangsa yang terperangkap di dalam kereta akibat banjir.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dengan bantuan BBP Teluk Kemang ke lokasi kejadian di parit bersebelahan Sungai Kampung Kundur Hulu.

“Komander Operasi Azizul Hassan melaporkan dari lokasi banjir di Kampung Kundur Tengah sebelum mendapat maklumat daripada waris mangsa, memaklumkan bapanya terperangkap di dalam Perodua Myvi.

“Mangsa yang juga pesara KKM dikatakan dibawa arus ketika melalui jalan raya berkenaan,” katanya dihubungi.

Jelas beliau, pasukan operasi (PKO) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Kemang kemudiannya mengeluarkan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, katanya, banjir kilat turut melanda dua rumah dan sebuah kedai makan di kampung sama.

“Seorang lelaki dewasa terperangkap di kedai makan namun berjaya diselamatkan.

“Kami turut melakukan pemantauan selain menasihati penduduk supaya berpindah jika paras air meningkat,” katanya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here