TINDAKAN seorang remaja lelaki mencuri wang tabung masjid membawa padah apabila dia ditahan polis, sekali gus membantu menyelesaikan empat kes jenayah di sekitar pulau ini.
Suspek berusia 19 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan kehilangan wang daripada tabung Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru pada 20 Oktober lalu.
Menurutnya, kejadian berkenaan menyebabkan pihak masjid mengalami kerugian kira-kira RM150.
“Hasil operasi dijalankan, polis berjaya menahan suspek dan merampas satu unit pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk memotong kunci mangga tabung masjid berkenaan.
“Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah yang dilaporkan berlaku antara 26 September hingga 20 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Firdaus berkata, kes berkenaan membabitkan kecurian tabung masjid, kecurian di kedai runcit serta pecah rumah di sekitar Lubok Temiang dan Rancha-Rancha.
Katanya, keseluruhan kerugian bagi empat kes terbabit dianggarkan berjumlah RM3,950.
Beliau berkata, suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
“Mahkamah Majistret Labuan membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 November bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.





