SEORANG ibu tunggal didenda RM500 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan tawaran hadiah yang tidak wujud, tahun lalu.
Tertuduh, Tamil Selvan Kathan, 64, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan sebaik ia dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun wanita itu telah menjelaskan bayaran tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyembunyikan wang berjumlah RM1,000 milik seorang warga emas berusia 64 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Abdullah di sini pada jam 8.45 pagi, 22 Januari tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Francisco’ yang mendakwa mahu menghantar hadiah kepadanya.
Bagaimanapun, mangsa dimaklumkan hadiah berkenaan kononnya ditahan pihak kastam dan perlu membuat bayaran bagi proses pelepasan.
Percaya dengan helah itu, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama tertuduh sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.






