Jurulatih silat mengaku tidak bersalah buat hantaran hasutan berkait Agong

SEORANG jurulatih silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan hasutan melibatkan hantaran yang dimuat naik di media sosial berkaitan Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh, Raden Azrul Amirulla, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Raden yang menetap di Sabah didakwa memuat naik hantaran itu di Facebook yang kemudiannya dikesan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ kira-kira jam 2.30 petang, 23 Disember tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Shariff mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela Farhanna Roslan memohon jaminan yang lebih rendah iaitu kurang daripada RM5,000, dengan alasan anak guamnya berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan serta menanggung ibunya dan enam orang anak.

Beliau juga memohon supaya pasport anak guamnya tidak ditahan, dengan alasan dia bukan seorang yang berisiko untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Raden menyerahkan pasportnya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai depan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img