KEMUNCULAN parti baharu, Parti Wawasan Negara tidak dipandang remeh sebaliknya menjadi pembakar semangat parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka perlu melipatgandakan usaha untuk mendekati rakyat seterusnya membuktikan parti gabungan mampu menyelesaikan masalah lebih baik daripada parti lain.
“Kehadiran parti baharu sudah pasti tak pandang sambil lewa atau pandang rendah dan seharusnya menjadi pembakar semangat untuk PKR, Amanah rakan dalam PH.
“Kami bekerja lipat ganda usaha untuk mendekati rakyat, menyelesaikan masalah dan buktikan bahawa kepimpinan dan cara kita menyelesaikan masalah itu jauh lebih baik dari parti lain dan pemimpin.
“Contohnya di Bukit Kiara semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kata di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka masalah yang makan masa 44 tahun mengenai perumahan komuniti akhirnya selesai,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan watikah perlantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menasihatkan semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berkempen secara sihat dan tidak menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau kempen pilihan raya.





