Sindiket edar dadah MDMA tumpas, rampasan lebih RM1.72 juta di Sentul

KEGIATAN sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak enam bulan lalu di daerah Sentul berjaya ditumpaskan selepas polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.72 juta dalam dua serbuan di Segambut, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira jam 10.50 pagi di sebuah unit kediaman di United Point Residence, Jalan Lang Emas.

Menurutnya, dalam serbuan pertama itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun di ruang tamu rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal dan dipandu arah suspek, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 33.85 gram.

“Susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah lagi unit kediaman di lokasi sama sebelum menemui pelbagai jenis dadah disyaki untuk tujuan pengedaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara rampasan yang dibuat termasuk cecair disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA), serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil yaba dan pil Erimin 5 yang disimpan dalam botol, kotak serta pelbagai bungkusan.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan serbuk MDMA seberat 11.67 kilogram, pil Erimin 5 seberat 69.2 gram, pil ekstasi seberat 186.63 gram, ketamin seberat 1.16 kilogram dan pil yaba seberat 7.27 gram.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,720,722.50 dan dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 349,872 penagih,” katanya.

Basri berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Semakan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Jun bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan diperoleh,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img