SEORANG lelaki warga Syria yang sebelum ini dikaitkan dengan penyebaran ajaran yang difatwakan sesat di Terengganu didenda RM3,000 dan penjara seminggu oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Besut hari ini, selepas mengaku bersalah menghina pihak berkuasa agama.
Tertuduh, Mhd Mohib Khouli Nazem, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Amir Mustaqim Ahmad Kusaini atas pertuduhan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghina pihak berkuasa agama menerusi siaran langsung yang dimuat naik menggunakan akaun Facebook Mohib Khouli Fans dengan mengulas fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.
Fatwa yang diwartakan pada 16 November 2023 itu memutuskan bahawa ajaran yang dibawa tertuduh adalah sesat dan bercanggah dengan akidah Islam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara seminggu terhadap tertuduh. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan selama tiga bulan.
Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya memfailkan notis rayuan terhadap hukuman berkenaan selain memohon penggantungan pelaksanaan perintah sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menggantung sementara pelaksanaan hukuman selain membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuan diputuskan.
Tertuduh diwakili Peguam Syarie Mohd Zabidi Yusof daripada Tetuan Azman, Wan Helmi & Associates, manakala pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Farhana Sulaiman.
Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail ketika mengesahkan keputusan itu berkata, kes berkenaan menjadi peringatan bahawa sebarang tindakan menghina atau memperlekehkan pihak berkuasa agama boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri.






