KPDN rampas barangan RM6.74 juta dalam tempoh lima bulan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merekodkan rampasan bernilai RM6.74 juta hasil pemeriksaan terhadap 16,543 premis di sekitar ibu negara sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pencapaian itu direkodkan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi membanteras pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian.

Menurutnya, sebanyak 247 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan membabitkan tindakan kertas siasatan (IP) dan kertas enkuiri (EP).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 237 kes adalah di bawah tindakan IP manakala 10 lagi membabitkan EP.

“Nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan mencecah RM6.74 juta hasil tindakan penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Akta Cap Dagangan 2019 merekodkan nilai rampasan tertinggi dengan 34 kes dikesan membabitkan nilai melebihi RM6.25 juta.

Katanya, kesalahan di bawah akta itu terus menjadi fokus utama susulan kegiatan penjualan dan pengedaran barangan yang melanggar hak cap dagangan.

“Selain itu, sebanyak 130 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala 84 kes lagi membabitkan Akta Timbang Sukat 1972.

“Ia menunjukkan pemantauan terhadap aspek harga dan alat timbang sukat terus diberi perhatian oleh KPDN Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 231 kompaun bernilai RM235,300 turut dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan termasuk bagi kesalahan yang dikesan pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, pihak penguat kuasa turut mengeluarkan 208 kompaun serta-merta (KOTS) dengan nilai keseluruhan RM69,300 terhadap pelbagai kesalahan yang dikenal pasti ketika pemeriksaan dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 16 kertas siasatan berjaya diselesaikan di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM219,100.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian,” katanya.

Sementara itu, KPDN Kuala Lumpur menerima 5,457 aduan pengguna sepanjang tempoh sama dengan 5,042 aduan berjaya diselesaikan manakala 415 lagi masih dalam tindakan, menjadikan kadar penyelesaian aduan mencecah 92.4 peratus.

Mohd Sabri berkata, kategori aduan tertinggi membabitkan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 1,358 aduan, diikuti transaksi dalam talian (1,087 aduan) dan isu harga (795 aduan).

Pada masa sama, beliau berkata Ops Jeriji 2026 turut merekodkan pencapaian 120 peratus apabila berjaya menahan 24 orang kena tangkap (OKT) berbanding sasaran awal seramai 20 orang.

Daripada jumlah itu, lapan OKT adalah warga tempatan manakala 16 lagi warga asing membabitkan 11 kes di bawah beberapa akta yang dikuatkuasakan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img