PELAKSANAAN rasionalisasi subsidi diesel serta pengenalan bantuan BUDI Diesel memberi kesan berbeza kepada golongan petani, kontraktor dan peniaga.
Dalam temubual dengan pengusaha dalam sektor pertanian dan perusahaan kecil, mereka berpendapat bantuan yang disediakan kerajaan dilihat mampu mengurangkan sebahagian beban kos operasi, namun masih terdapat beberapa kekangan yang memerlukan penambahbaikan.
Bagi petani, diesel merupakan antara input penting untuk tujuan pengangkutan hasil, operasi ladang dan penggunaan jentera.

Pengarah Saido Farm, Said Mohamad Umar Bichk Koyak, yang mengusahakan hampir 8,000 polybag tanaman secara fertigasi, beliau menggunakan kira-kira 100 liter diesel seminggu bagi kenderaan pacuan empat rodanya.
Walaupun menerima bantuan BUDI Diesel sebanyak RM400 sebulan bagi kategori individu dan pertanian, beliau berpendapat jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung keperluan operasi yang memerlukan pergerakan berterusan bagi mencari pembeli dan memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pelanggan.
Menurut beliau, peningkatan kos diesel memaksanya menjadualkan semula perjalanan penghantaran dengan menggabungkan beberapa pesanan dalam satu perjalanan bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan kad khas diesel untuk petani, seumpama Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), yang membolehkan pembelian diesel dibuat secara terus di stesen minyak tanpa perlu bergantung kepada bantuan tunai bulanan.

Pandangan yang hampir sama dikongsi Pengurus Madani Niaga, Nornikman Ramli, yang mengusahakan ladang sayuran, cili, tembikai wangi dan tomato selama lebih sedekad.
Dengan penggunaan diesel antara 150 hingga 200 liter sebulan bagi kenderaan dan traktor, beliau mengakui bantuan yang diterima membantu mengurangkan beban, namun masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos operasi.
Beliau menjelaskan bahawa selain diesel, kos baja, racun dan input pertanian lain turut meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus. Pada masa yang sama, harga jualan hasil pertanian tidak meningkat seiring dengan kenaikan kos, malah sesetengah komoditi seperti cili mengalami penurunan harga pasaran sehingga menjejaskan keuntungan petani.
Dalam sektor pembinaan pertanian, kesan kenaikan diesel bukan sahaja dirasai melalui penggunaan bahan api secara langsung, tetapi juga melalui peningkatan harga bahan binaan.

Kontraktor pembinaan Struktur Pelindung Hujan (SPH), Jasni Saad, menganggarkan kos pembinaan meningkat sehingga 50 peratus berikutan kenaikan harga bahan yang berasaskan petroleum seperti plastik rumah hijau, paip pengairan HDPE serta kos pengangkutan bahan binaan.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan sesetengah pelanggan meminta pengurangan harga projek, namun beliau enggan berkompromi terhadap kualiti bahan kerana bimbang menjejaskan ketahanan struktur yang dibina.
Jasni turut mengakui tidak memohon BUDI Diesel kerana berdepan kesukaran memenuhi proses pendaftaran dan dokumentasi yang diperlukan. Beliau berharap syarat permohonan dapat dipermudah bagi membantu perusahaan kecil yang mempunyai kekangan sumber manusia dan kewangan.

Seorang lagi kontraktor, Yusoff Mohd, menyifatkan peningkatan harga diesel sebagai cabaran besar kepada industri pembinaan. Menurut beliau, walaupun penggunaan diesel tidak berubah, kos operasi meningkat berkali ganda berbanding sebelum ini. Keadaan tersebut menyebabkan syarikat lebih berhati-hati untuk mengambil projek baharu dan memberi tumpuan kepada menyiapkan projek sedia ada sambil mengurangkan kos operasi sebanyak mungkin.
Berbeza dengan petani dan kontraktor, sebahagian peniaga yang menerima kemudahan subsidi bersasar melalui sistem fleet card melihat pelaksanaan dasar itu memberi manfaat yang ketara.

Pengurus Agro Inovatif Enterprise, Mohd Zulfadli Zhuhaimi, berkata lori dua tan yang digunakan untuk mengangkut hasil pertanian menerima subsidi diesel melalui sistem fleet card tanpa had yang banyak membantu operasi pemasaran produk pertanian.
Beliau menjelaskan bahawa kos pengangkutan kekal stabil dan tidak banyak berubah berbanding sebelum pelaksanaan rasionalisasi diesel. Keadaan itu membolehkan beliau meneruskan aktiviti pengumpulan dan penghantaran hasil pertanian dari pelbagai lokasi ke pasaran sekitar Selangor tanpa menghadapi kekangan pergerakan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa petani yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat untuk mengangkut hasil pertanian juga sewajarnya dipertimbangkan untuk menerima kemudahan yang sama.

Bagi peniaga pasar malam, Muhammad Badri Khairul, bantuan yang diterima dianggap mencukupi memandangkan lokasi perniagaannya tidak terlalu jauh dan harga buah-buahan di pasaran borong masih stabil. Beliau bagaimanapun mengakui akan berdepan kesukaran sekiranya subsidi diesel dihentikan sepenuhnya pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, dapatan temu bual menunjukkan bahawa bantuan BUDI Diesel berjaya mengurangkan sebahagian tekanan kos yang ditanggung oleh pengusaha dalam sektor pertanian dan perusahaan kecil. Namun, tahap keberkesanannya berbeza mengikut jenis aktiviti ekonomi dan jumlah penggunaan diesel setiap pengusaha.
Petani dan kontraktor yang mempunyai penggunaan diesel tinggi masih berdepan peningkatan kos operasi yang ketara, manakala penerima subsidi bersasar melalui fleet card menikmati manfaat yang lebih besar dan lebih konsisten.
Antara cadangan utama yang dikemukakan merek ialah memperluaskan akses kepada sistem kad diesel bersubsidi untuk petani dan pengusaha kecil, mempermudah proses permohonan bantuan, serta memperhalusi mekanisme sokongan supaya lebih selaras dengan keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
Langkah sedemikian dilihat mampu memastikan objektif rasionalisasi subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan daya saing sektor pertanian dan perusahaan kecil yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.






