SEORANG pekerja pelantar minyak meninggal dunia selepas mengadu sakit dada ketika berada di Pelantar Minyak Guntung-Delta, Paka di Dungun pagi ini.
Pekerja berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia 44 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di pelantar minyak berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, sebelum itu iaitu kira-kira jam 6 pagi, lelaki terbabit dipercayai mengalami ketidakselesaan pada bahagian dada.
“Petugas perubatan pelantar minyak telah memberikan bantuan awal pernafasan sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menggunakan helikopter pada jam 11.22 pagi.
“Bagaimanapun, pekerja itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian lelaki terbabit.
Beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.






