SEORANG pelancong lelaki warga emas dari Jerman meninggal dunia selepas pengsan ketika melakukan aktiviti selam snorkel di perairan Pulau Sakar, di Lahad Datu pagi ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Kenneth Ray Crouse, 78, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
“Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerima maklumat mengenai keadaan mangsa yang pengsan pada jam 11.20 pagi dan satu operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) dikoordinasikan.
“Di lokasi kejadian, mangsa turut diberikan bantuan pernafasan oleh rakannya, sebelum bot ronda Cenderawasih 02 mengambil mangsa untuk dihantar ke Jeti Perikanan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dzulfikhar menasihati orang ramai agar mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan melaporkan segera sebarang kecemasan atau jenayah maritim.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi talian WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS999 untuk tindakan segera pihak berkuasa.






