Setelah menerima tekanan kuat daripada komuniti antarabangsa termasuk negara-negara Eropah, ASEAN serta Malaysia, pihak berkuasa Israel akhirnya memberi laluan kepada wakil undang-undang bertemu delegasi Malaysia.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, pada peringkat awal, wakil perundangan tersebut dinafikan akses untuk berhubung dengan aktivis Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Pertemuan itu membolehkan SNCC mengesahkan bahawa semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat ,” katanya pada sidang media mala mini.
Beliau berkata, aktivis Malaysia tidak dapat dihubungi secara langsung sejak mereka ditahan kerana semua telefon bimbit telah dicampakkan ke laut mengikut prosedur keselamatan flotilla.
“Ketika kapal diserbu, telefon dibuang keluar untuk mengelakkan akses musuh. Justeru, komunikasi terus dengan mereka tidak ada sejak itu,” katanya.
Sani Araby menegaskan penahanan delegasi Malaysia serta ratusan aktivis antarabangsa lain adalah tindakan tidak munasabah kerana misi flotila ini bersifat aman tanpa sebarang senjata.
‘’Seluruh peserta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Israel sepanjang proses rampasan kapal, malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) boleh membuktikan mereka tidak melakukan sebarang tindakan mencurigakan.
“Delegasi kita tidak pernah membawa senjata, tidak pernah melakukan provokasi. Semua bukti jelas menunjukkan mereka tidak menimbulkan ancaman,” ujarnya.
Beliau menyifatkan tindakan Israel menahan peserta flotila sebagai pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan pelanggaran prinsip kemanusiaan antarabangsa.



