LIMPAHAN pembangunan dan kemajuan ekonomi negara mesti dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat khususnya rakyat di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada projek berskala besar atau pemodenan teknologi tinggi sebaliknya perlu dirasai secara menyeluruh oleh komuniti peladang, nelayan, pesawah dan pekebun kecil.
“Pembangunan ini mesti dinikmati serata… pembangunan ini mesti menjamin kemudahan kepada rakyat terutama yang di peringkat bawah,” katanya dalam ucapan pada majlis Jamuan Minum Petang bersama komuniti nelayan, peladang dan masyarakat setempat di Medan Selera Pantai Leka di Muar hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun projek berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan dan transformasi digital penting untuk kemajuan masa depan, kebajikan serta pendapatan masyarakat luar bandar tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian melalui agensi dan lembaga berkaitan bagi memastikan jaringan keselamatan sosial serta bantuan kepada kumpulan sasar dapat disalurkan secara berkesan.
Justeru, beliau mengingatkan barisan Jemaah Menteri dan semua pimpinan politik supaya sentiasa turun padang untuk mendengar sendiri keluhan rakyat serta menyelesaikan masalah mereka secara berkesan.
Tegas Anwar, kepimpinan yang bertanggungjawab harus memiliki keberanian untuk menyuarakan nasib rakyat bawahan demi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus kemodenan negara.






