CEO PSM mengaku tidak bersalah 7 pertuduhan rasuah projek naik taraf pusat skuasy

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tujuh pertuduhan membabitkan meminta dan menerima rasuah berhubung projek menaik taraf kemudahan sukan di ibu negara.

Tertuduh, Iliyas Jamil yang berusia 42 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.

Iliyas yang hadir dengan memakai kot berwarna biru gelap tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum prosiding bermula.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM1,005,000 dan enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM450,000 daripada seorang lelaki berusia 60 tahun.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh selaku pegawai badan awam dan CEO PSM supaya bersetuju memilih sebuah syarikat sebagai pemenang tender Projek Menaik Taraf Gelanggang dan Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil yang bernilai RM8.73 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat PSM serta sebuah restoran di pusat beli-belah di Pavilion Bukit Jalil antara 24 Februari hingga 13 April lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat memaklumkan kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan dengan mengambil kira kedudukan tertuduh, tahap serius kesalahan dan risiko melarikan diri.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Bagaimanapun, peguam bela Yusmadi Yusoff memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan kadar terlalu tinggi akan membebankan kewangan anak guamnya.

Menurutnya, tertuduh mempunyai anak yang masih bersekolah dan dimaklumkan telah digantung kerja serta tidak mempunyai pekerjaan lain untuk menyara keluarga.

Beliau turut memaklumkan tertuduh telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan termasuk menyerahkan dokumen berkaitan, akuan bersumpah dan laporan polis.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img