
DIPILIH menjadi poster boy bukanlah jaminan akan dilantik sebagai Menteri Besar jika berjaya membentuk kerajaan baharu.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkenan istana, khususnya Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail amat penting dalam menentukan siapa bakal menerajui kerajaan negeri.
“Sebagai menteri besar, saya akan dilihat sebagai ‘poster boy’, itu lumrah.“Tapi kita jelas bahawa apa pun keadaan, yang akan menentukan siapa menteri besar ialah Sultan Johor atau Pemangku Sultan Johor. Perkenan Istana Johor sangat penting,” katanyanya dalam wawancara dengan media di Johor Bharu semalam.

Mengenai kempen PRN negeri yang akan bermula pada 27 Jun ini, Onn berkata, Istana Johor menasihatkan semua pihak menjaga adab dan tatatertib dalam tempoh berkempen.
Katanya, sikap saling menghormati penting untuk diamalkan walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik.
“Tak perlu maki hamun, mencaci. Jagalah adab tertib, itu Tuanku titah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, maklum balas daripada Istana Johor dan rakyat merupakan antara kayu ukur yang digunakan bagi melihat tahap prestasi mereka sepanjang empat tahun lepas.
“Untuk saya dan semua barisan exco, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri serta mereka bahawa maklum balas terhadap prestasi kerajaan perlu datang daripada dua pihak, bukan daripada saya semata-mata.
“Apabila rakyat dan Istana menyatakan bahawa kami telah menjalankan tugas dengan baik, pada saya, ketika itulah kami boleh menganggap bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan berjaya dicapai.
“Tapi kalau satu daripadanya, sama ada institusi diraja ataupun rakyat memberi maklum balas kami tidak menjalankan tugas dengan baik, pada saya, kita tidak melakukan tanggungjawab yang baik. Kita sentiasa peka terhadap maklum balas diberikan,’’ katanya.






