‘’Bola sepak Malaysia miliki potensi,  penyokong luar biasa,pemain berbakat’’ – Cklamovski 

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama skuad kebangsaan, selain menghormati penamatan kontrak beliau bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Cklamovski turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pemain dan staf yang disifatkan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perjalanan bersama pasukan kebangsaan.

“Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap detik yang kami lalui bersama didorong oleh matlamat yang sama iaitu untuk membanggakan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, bola sepak Malaysia memiliki potensi besar menerusi semangat luar biasa penyokong, bakat dimiliki pemain serta kecintaan masyarakat terhadap sukan itu yang perlu terus dipelihara.

“Saya berharap bola sepak Malaysia akan terus berkembang dengan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan terbaik untuk sukan ini, para pemain dan masa depan negara,” katanya sambil mendoakan kejayaan berterusan buat bola sepak Malaysia.

Dalam pada itu, Nafuzi Zain yang turut ditamatkan kontrak sebagai ketua jurulatih skuad B23 tahun negara mengakui bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah pasukan yang begitu dekat di hatinya.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan karier saya. Terutamanya kepada pihak pengurusan, staf sokongan serta pemain dan juga penyokong yang sentiasa ada di belakang saya memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi.

“Saya yakin pasukan ini akan terus berkembang dan meraih kejayaan dengan bakat dan potensi pemain muda yang ada sekali gus menjadikan mereka aset penting di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kontrak ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski, serta dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith dan Seiya Imazaki ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa, Selasa lalu.

Selain itu, kontrak ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin juga ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa pada Isnin.

Turut  ditamatkan kontrak ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan Rob Friend, berkuat kuasa 1 Jun lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img