Indeks daya saing dunia:  Malaysia lonjak 8 anak tangga, bukti keyakinan pelabur, kata PM

KEJAYAAN Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik dalam indeks Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), apabila melonjak lapan anak tangga kepada kedudukan ke-15 daripada 70 negara membuktikan usaha reformasi, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap negara ini berada dalam landasan tepat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras bersama dan tekad untuk mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi.

‘’ Tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, komuniti perniagaan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada lonjakan daya saing negara ke tangga ke-15 dunia.

‘’ Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Menurut IMD,  ia  merupakan peningkatan ketara berbanding tangga ke-23 tahun lalu, yang sebelum itu juga meningkat daripada tangga ke-34 pada 2024, sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia dalam indeks tahunan tersebut setakat ini.

Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara di bawah Singapura, yang berada di kedudukan teratas keseluruhan.

Singapura diikuti oleh Hong Kong, Switzerland, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Denmark, Ireland, Belanda, Sweden, Amerika Syarikat, Qatar, China, Arab Saudi dan Luxembourg.

WCR menganalisis dan menilai keupayaan negara untuk mewujudkan serta mengekalkan persekitaran yang menyokong daya saing perusahaan.

Dari segi prestasi ekonomi, Malaysia memperoleh skor 78.4 mata dan berada di kedudukan keempat daripada 70 ekonomi, sama seperti tahun lalu.

Kedudukan negara bagi kecekapan kerajaan meningkat daripada tangga ke-25 tahun lalu kepada ke-14 dengan skor 71.6, manakala kedudukan dalam aspek kecekapan perniagaan turut bertambah baik daripada ke-32 pada 2025 kepada ke-16 tahun ini dengan skor 75.4.

Bagaimanapun, Malaysia mencatat prestasi lebih rendah dalam kategori infrastruktur, hanya naik dua anak tangga ke kedudukan ke-33 tahun ini dengan skor 59.8.

Menurut IMD, kedudukan Malaysia turut disokong oleh prestasi ekonomi domestik, perdagangan antarabangsa dan pelaburan antarabangsa, dengan ketiga-tiga kategori itu mencatatkan peningkatan skor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img