JABATAN Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memulakan siasatan dalaman susulan kematian seorang murid di sebuah sekolah di negeri ini yang berlaku pagi tadi.
Dalam kenyataan media hari ini, JPNS memaklumkan perkara itu kini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPNS akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
“JPNS telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti setiap perkara berkaitan.
“Kami memohon semua pihak untuk memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan keadaan sukar pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.
JPNS turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, selain memastikan bantuan sewajarnya kepada keluarga, sokongan psikososial turut disediakan kepada warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
“Keutamaan JPNS pada ketika ini adalah untuk memastikan bantuan terbaik kepada keluarga. Sokongan psikososial turut disediakan kepada seluruh warga sekolah yang terkesan,” katanya.
JPNS turut memohon semua pihak memberi ruang serta menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berdepan keadaan sukar ketika ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan kira-kira jam 10 pagi tadi.






