POLIS giat memburu dua lelaki bertopi keledar dan bertutup muka yang dipercayai terlibat dalam kejadian menyimbah cat merah serta membakar sebuah restoran nasi kandar di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, awal pagi tadi.
Lebih mengejutkan, kejadian itu berlaku hanya sehari sebelum premis berkenaan dijadual mengadakan pembukaan rasmi kepada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang merupakan peniaga restoran tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan awal dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek tiba di premis berkenaan kira-kira jam 3.34 pagi sebelum bertindak melakukan khianat.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyimbah minyak dan cat merah sebelum membakar restoran berkenaan.
“Kejadian mengakibatkan kerugian dianggarkan RM200,000 dan punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta BBP Kempas digerakkan ke lokasi.
Menurut JBPM, kebakaran melibatkan sebuah premis kedai makan jenis kekal itu bagaimanapun berjaya dipadamkan sebelum ketibaan pasukan bomba dengan menggunakan lapan unit alat pemadam api.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.






