TIGA wanita antara empat individu direman selama dua hari bermula hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan membaling cat ke atas rumah peminjam ceti haram atau along secara ‘road show’.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia antara 25 hingga 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Berdasarkan laporan polis dibuat, keempat-empat suspek ditahan Sabtu lalu selepas pihak berkuasa menerima aduan berhubung kegiatan membaling cat oleh individu tidak dikenali di beberapa lokasi.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan itu selepas melihat iklan tawaran kerja sambilan di media sosial yang menjanjikan bayaran lumayan.
Difahamkan, semua suspek berperanan sebagai penyimbah cat merah selain menulis nota ugutan kepada mangsa atau peminjam ah long.
Mereka dipercayai menerima bayaran RM800 bagi setiap rumah yang dibaling cat.
Selain itu, suspek turut diarahkan merakam gambar dan video sekurang-kurangnya 10 saat sebagai bukti tugasan sebelum dihantar kepada ‘majikan’ masing-masing untuk tujuan pembayaran.


