Ops Kutip: 186 warga asing ditahan Imigresen di Pasar Pudu

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan sebanyak 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menyerbu bangunan yang menjadi tempat tinggal warga asing di sekitar Pasar Pudu dalam Ops Kutip, di ibu negara tengah malam tadi.

Ketika serbuan dibuat, ada dalam kalangan warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa namun berjaya diberkas.

SEBAHAGIAN daripada 186 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam Ops Kutip dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur di Pasar Pudu, Kuala Lumpur tengah malam tadi. GAMBAR: JIM KL

Jurucakap JIM Kuala Lumpur berkata, operasi bermula jam 12.05 tengah malam membabitkan sebanyak 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, sebanyak 320 warga asing diperiksa sebelum 186 daripadanya ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada jumlah yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 118 lelaki, diikuti warga Indonesia seramai 28 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.

“Turut ditahan ialah 26 warga Myanmar (13 lelaki dan 13 wanita), lima warga Vietnam (tiga lelaki dan dua wanita), empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, kesemua yang ditahan itu dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img