Dinie Hanis, mangsa nahas di Jengka 19 merancang bernikah minggu depan

SEORANG daripada dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Temerloh-Jerantut, dekat Jengka 19, semalam, merancang untuk bernikah minggu depan.

Allahyarham Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dijadualkan untuk melangsungkan perkahwinan pada 26 Jun ini.

Saudara kepada keluarga mangsa, Ahmad Samadi Ibrahim, 55, berkata, persiapan majlis itu sudah siap sepenuhnya.

“Arwah juga baru pulang dari Kelantan untuk menjemput saudara ke majlis perkahwinannya itu. Dia kemudiannya meneruskan rutin berniaga seperti biasa sebelum tragedi itu berlaku.

“Segala persiapan kahwin sudah siap. Kami sekeluarga memang terkejut apabila menerima berita itu pada 8 malam selepas dimaklumkan oleh adiknya yang bekerja sebagai pemandu ambulans,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 7.25 malam itu, adik Dinie Hanis, Dinie Nasuha Noor, 19, turut maut.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Temerloh memasuki lorong kanan ketika memotong sebuah motosikal sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Ahmad Samadi berkata, kedua beradik itu terkenal sebagai anak yang rajin bekerja dan banyak membantu keluarga selepas kematian bapa mereka yang pernah bertugas sebagai pemandu di Pejabat Agama Temerloh.

Menurutnya, arwah bersama adik-beradiknya mengusahakan perniagaan makanan dan kuih-muih di beberapa lokasi termasuk Bandar Pusat Jengka, Temerloh Jaya dan Simpang Jengka.

“Mereka memang kuat bekerja. Sejak kecil lagi membantu ibu berniaga. Selepas ayah meninggal dunia, mereka menjadi antara tonggak mencari rezeki untuk keluarga.

“Arwah Dinie Hanis juga seorang yang ceria dan mudah mesra. Ramai pelanggan mengenalinya kerana dia sering berniaga di pasar hari dan tapak jualan sekitar kawasan ini,” katanya.

Menurut Ahmad Samadi, kali terakhir dia bertemu kedua mangsa adalah kira-kira dua minggu lalu di pasar malam sebelum masing-masing meneruskan urusan harian seperti biasa.

Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau, di Temerloh.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img