Tunang Dinie Hanis terkilan cinta tidak sempat disatukan

HANYA menunggu tidak sampai seminggu sebelum bergelar raja sehari, cinta hati kepada Mohamad Alif Iskandar Azhar pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Temerloh-Jerantut, dekat Jengka 19, semalam.

Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dijadualkan dinikahkan dengan tunangnya, Mohamad Alif Iskandar, 24, pada 26 Jun ini selepas hubungan cinta mereka yang terjalin sejak zaman persekolahan.

GAMBAR kenangan Allahyarham Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy (kiri) bersama adiknya, Dinie Nasuha yang tular di media sosial selepas kedua-duanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jengka 19 semalam. GAMBAR Ihsan keluarga

Mohamad Alif yang juga anggota tentera berkata, segala persiapan perkahwinan sudah siap dan kedua-dua keluarga hanya menanti hari bersejarah itu.

“Kami sangat rapat dan sama-sama membuat persiapan majlis bersama keluarga. Arwah memang teruja menantikan hari perkahwinan kami. Saya terima panggilan daripada adik yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

KAD jemputan kahwin Allahyarham Dinie Hanis dan pasangannya, Mohamad Alif Iskandar Azhar yang bakal berlangsung pada 26 Jun depan

“Beberapa minit kemudian, saya dimaklumkan bahawa tunang saya sudah meninggal dunia. Saya dalam perjalanan pulang kerana sudah mula cuti untuk majlis perkahwinan kami dan terima berita itu ketika terperangkap dalam kesesakan di Plaza Tol Gombak,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurutnya, Dinie Hanis dikenali sebagai seorang yang peramah, rajin bekerja dan sentiasa membantu keluarga mencari rezeki sejak bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Arwah dan adik-beradiknya kuat bekerja serta berniaga untuk membantu ibu mereka. Itulah antara sifat yang paling saya kagumi pada dirinya,” katanya.

Mohamad Alif berkata, antara kenangan terakhir yang tidak dapat dilupakan adalah apabila tunangnya itu pulang dari Kelantan dua hari sebelum kejadian dan sempat membelikan selendang untuk dipakai ibunya pada majlis perkahwinan mereka.

Katanya, dalam perbualan terakhir dengan Dinie Hanis beberapa hari lalu, mereka masih berbincang mengenai persiapan majlis dan beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum hari pernikahan.

“Arwah sangat gembira kerana kami bercinta sejak di bangku sekolah dan akhirnya bakal disatukan sebagai suami isteri.

“Dia juga sangat teruja menjemput saudara dan kenalan hadir ke majlis kami,” katanya.

Suasana bertambah hiba apabila Mohamad Alif sendiri mengimamkan solat jenazah Allahyarham Dinie Hanis dan Dinie Nasuha sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gau Baru, Temerloh.

Menurutnya, perkara yang paling dirindui selepas ini adalah gelak tawa, kenangan manis dan setiap detik yang pernah dilalui bersama tunangnya itu.

Dalam kejadian pada jam 7.25 malam tadi, adik Dinie Hanis, Dinie Nasuha, 19, turut maut.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dua beradik berkenaan dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Temerloh memasuki lorong kanan ketika memotong sebuah motosikal sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img