BILIK pelayan (server) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dilaporkan terbakar kira-kira 50 peratus dalam kejadian semalam.
Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan serta tiada sebarang unsur khianat dikesan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, Pusat Kawalan Daerah (PKD) Gombak menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.04 petang.
“Susulan maklumat itu, Pusat Kawalan IPD Gombak menghubungi bomba untuk tindakan selanjutnya.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selayang bertindak memadamkan api, dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 4.50 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ibrahim, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan di lokasi mendapati kejadian kebakaran berkenaan hanya membabitkan bilik pelayan trafik pejabat berkenaan.
“Hasil maklumat awal bomba, kebakaran berkenaan menyebabkan kemusnahan 50 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan tiada unsur jenayah dan khianat. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba,” katanya.






