KENDERAAN dinaiki Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail bersama isterinya dirempuh Perodua Axia yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat di Jelatang, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Alor Gajah awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Zulkifli yang memandu Nissan Teana bersama isterinya dalam perjalanan ke Selangor bagi menghadiri program sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Nissan Teana dipandu Zulkifli melalui persimpangan lampu isyarat di Jelatang.
Menurutnya, dalam masa sama Perodua Axia yang dipandu pekerja kilang berusia 30 tahun dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat sebelum merempuh kenderaan dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan. Wakil rakyat itu cedera ringan, manakala isterinya mengalami sakit dada.
“Pemandu Perodua Axia itu patah tulang rusuk dan tulang pinggul. Selain itu, tiga lagi penumpang wanita yang menaiki kenderaan sama cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 019-538 2353 bagi membantu siasatan.






