TINDAKAN mencurigakan sepasang remaja yang dilihat berulang kali keluar masuk tandas sebuah surau di Kampung Tok Rasul, Kilang Lama dekat Kulim akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup awal pagi tadi.
Pasangan terbabit membabitkan remaja lelaki berusia 18 tahun dan remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditahan penduduk kampung ketika berada di tandas surau tersebut kira-kira jam 1.30 pagi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pasangan berkenaan dicekup selepas kegiatan mereka dihidu penduduk kampung yang curiga dengan kehadiran mereka di kawasan surau pada lewat malam.
Menurut beliau, orang awam yang berniaga berhampiran lokasi memaklumkan telah beberapa kali melihat pasangan itu memasuki kawasan surau pada awal pagi sehingga menimbulkan syak wasangka.
“Penduduk yang membuat pemeriksaan mendapati pasangan itu berada di dalam tandas surau dalam keadaan separuh bogel sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pengerusi surau dan pihak penguat kuasa agama.
“Susulan itu, pemeriksaan lanjut dijalankan dan mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri serta tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Beliau berkata, remaja lelaki terbabit berasal dari Sungai Kob dan bekerja sebagai peniaga nasi lemak serta mengaku masih bujang.
“Remaja perempuan pula berusia 15 tahun dan berasal dari Changlun. Dia sudah tidak bersekolah dan kini tinggal bersama ibu saudaranya di Sungai Ular.
“Kedua-duanya mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Katanya, tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan oleh pihak berkuasa agama.





