SEPASANG remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam kejadian di Persiaran Raja Muda Musa, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika anggota terbabit sedang menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya (SJR).
Menurutnya, pasangan berusia 19 tahun itu bertindak melarikan diri sebelum merempuh anggota berkenaan.
“Impak rempuhan menyebabkan anggota polis terbabit tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka, manakala penunggang dan pembonceng motosikal hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-dua suspek ditahan dan mereka cuba melarikan diri berikutan tiada lesen memandu, manakala anggota berpangkat Koperal itu pula masih menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, selain Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap penjawat awam.
“Dua remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Klang esok,” katanya.


