POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul bekas isterinya dalam kejadian di parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.51 petang semalam.
Menurut beliau, susulan siasatan dan maklumat diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an pada jam 6.20 petang hari ini.
“Siasatan mendapati suspek merupakan pemandu perkhidmatan e-hailing dan juga bekas suami kepada mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Katanya, jika sabit kesalahan, Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Ami di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan lanjut.






