
PRESIDEN Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu malam ini dengan lantang mengingatkan supaya tidak ada sesiapa mahu mengubah cara demokrasi dan Perlembagaan Malaysia dalam soal pertarungan politik.
Tegas beliau, biarlah parti politik bergelut sesama sendiri sama ada untuk memerintah atau menjadi pembangkang.
‘’Kita tidak mahu berlawan dengan orang yang kita tidak boleh lawan..saya beri amaran, saya orang lama dalam politik Malaysia, biarkan parti lawan parti bukannya parti berlawan dengan orang yang kita tak boleh lawan,’’ kata ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor di Tangkak malam ini.
Mohamad berkata, amalan parti lawan parti harus dikekalkan dan terserah sesiapa juga mahu berlawan dengan PH.
‘’Sama ada kita menang atau mereka kalah itu tidak menjadi persoalan…kita menanpun tak apa, mereka kalah pun tak apa…tetapi mesti parti lawan parti,, jangan sesiapa muncul yang kami tak boleh lawan… jangan ubah peta politik Malaysia,’’ tegasnya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan yang dibuat bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM14.6 bilion ketika ini berbanding RM10.2 bilion sebelum Anwar menerajui kerajaan.
Menurut beliau, fakta tersebut membuktikan dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan mengabaikan Johor adalah tidak berasas.
“Kalau ada pihak mengatakan Johor tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, kita jawab dengan fakta.
“Saya semak dengan ICU. Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Johor menerima RM10.2 bilion. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, jumlah itu meningkat kepada RM14.6 bilion,” katanya pada majlis yang sama.
Saifuddin berkata, angka tersebut perlu dijadikan jawapan oleh jentera PH sekiranya isu peruntukan kepada Johor dibangkitkan sepanjang kempen PRN nanti.






