MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu, langkah tidak meneruskan sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) boleh memberi risiko serta mendatangkan kesan terhadap ekonomi dan perdagangan negara.
Justeru, beliau berkata, Malaysia terus mengambil pendekatan berunding dengan AS berhubung tarif timbal balas serta langkah perdagangan lain yang membabitkan kepentingan kedua-dua negara.
“Bila tak ada buat engagement, kita akan berdepan risiko di mana AS menganggap bahawa tarif ini adalah unilateral. Maksud unilateral itu, kalau kita eksport barang, kita sudah bagi kepada import di AS, ini harganya. Bila sampai di AS, mereka akan tambah lagi 19 peratus untuk impose kepada rakyat mereka, bukan kita.
“Tetapi kesan kepada kita ialah, produk kita yang kompetetif, tapi kena 19 peratus lagi daripada AS, dia (produk) jadi tak kompetetif. Ini kita tak boleh tahan, sebab itu hak mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, kerajaan akui dagangan dengan AS amat penting dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negara, disamping memastikan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor terus mengukuh.
“Kebanyakan eksport kita ini, dia banyak pergi kepada AS. Kita ada eksport RM1.6 trillion, RM711 bilion datang daripada sektor E&E dan semikonduktor. Di mana di AS saja, kita eksport tiap-tiap tahun, tahun lalu RM233 bilion. Kita juga memastikan eksport ini tidak akan menjejaskan ekonomi kita.
“Sebab itu kita kena engage dengan mereka. Saya mula-mula dulu, saya rasa tak setuju juga. Tapi bila saya tengok dalam keadaan ini, contohnya macam China, dikenakan tariff 145 peratus, itu banyak. Kalau Malaysia kena waktu itu 40 peratus saja sudah cukup, apa terjadi kepada kita punya syarikat-syarikat yang berdagang dengan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, tarif 10 peratus mengikut Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS hanya sah untuk tempoh 150 hari dan ia jadual tamat pada 24 Julai ini.
Pada April lalu, Johari memaklumkan Malaysia kini berdepan beberapa tindakan perdagangan yang dilaksanakan AS menerusi pelbagai peruntukan undang-undang negara berkenaan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Mei lalu mengetuai delegasi ke Washington bagi mengadakan rundingan berkaitan siasatan berkenaan, di mana Malaysia menegaskan sektor pembuatan negara beroperasi berasaskan prinsip pasaran serta memenuhi permintaan global yang sebenar.






