SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas dua pertuduhan mencabul serta mengeluarkan komunikasi seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan bawah umur yang juga pelajar sekolah, minggu lalu.
Tertuduh, Gopinad Gulam Mohamad, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada jam 2.05 petang di sebuah perhentian bas di Jalan Ipoh-Kampar, Kampung Batu Berangkai, di sini pada 18 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan komunikasi seksual terhadap mangsa sama pada jam 2.10 petang di lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 11(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam Khesmin Kapil Singh Dhanoa.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan selain memohon beberapa syarat tambahan sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin termasuk melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa, keluarga mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh dan mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Kampar tinggal berdekatan namun tidak saling mengenali.
Peguam bela memohon jumlah jaminan minimum atas alasan tertuduh yang bekerja secara sambilan memperoleh pendapatan bawah RM1,000 sebulan selain mengalami kecacatan fizikal pada tangan kiri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.






