PRESIDEN Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan parti yang baru ditubuhkannya itu dilihat sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan Perikatan Nasional (PN) dengan lebih ramai rakyat.
Menurut Ketua Pembangkang itu, keputusan PN menerima permohonan Wawasan menyertainya menunjukkan keyakinan gabungan itu terhadap partinya, dan beliau percaya Wawasan akan memberi nilai tambah kepada kekuatan sedia ada dalam PN.
“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah sebelum ini mengetuai Gerakan RESET selepas beliau dipecat keahliannya sebagai Timbalan Presiden Bersatu pada 13 Februari lalu, susulan kemelut dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) semalam, PN mengumumkan gabungan meluluskan permohonan Wawasan untuk menjadi parti anggota.
Wawasan merupakan penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia (PCM), selepas ia diambil alih oleh Hamzah dan penyokong beliau. PCM ditubuhkan oleh bekas ahli Gerakan, Huan Cheng Guan dan bekas ahli PKR, Gabriel Adit Demong pada 2009.
Hamzah turut memaklumkan bahawa Wawasan adalah ‘parti berwajah Malaysia’.
“Sebagai parti berwajah Malaysia, Wawasan membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional,” katanya.
Komponen lain dalam PN adalah Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Selain Wawasan, PN turut menerima permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).






