POLIS membuka kertas siasatan berhubung murid perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di asrama sebuah sekolah di daerah ini.
Video kejadian yang tular di media sosial didakwa berlaku pada 11 Jun lalu di asrama puteri sekolah rendah di kawasan pedalaman.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 8 pagi Selasa, dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang tinggal di bilik asrama sama dengannya.
“Mangsa dikatakan terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh atas tanah.
“Suspek kemudian memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya kenyataan media, hari ini.
Azmir berkata, ketika kejadian, dua lagi murid perempuan dipercayai merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp suspek dua hari kemudiannya.
Katanya, setakat ini tiga individu termasuk pelaku dan perakam video sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan.
“Beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan turut dirampas. Mangsa sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala keterangan saksi serta pihak sekolah sedang dirakam,” katanya.
Azmir berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa terutama membabitkan kanak-kanak.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.






