AKIBAT cemburu, dua lelaki tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki menggunakan tangan dan kayu dalam kejadian di Jalan Gapam, Bemban tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, kedua-dua mangsa berusia 21 dan 28 tahun mengalami kecederaan serius di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Katanya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa mangsa berusia 21 tahun yang juga seorang penganggur di Balai Polis Bemban pada jam 5.05 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara dua kumpulan lelaki berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Gapam, kira-kira 20 meter dari Stesen Minyak Petronas Bemban.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu melibatkan seorang wanita. Beberapa lelaki dipercayai memanggil adik lelaki kepada seorang mangsa berusia 28 tahun yang juga pemandu lori dan memintanya memulangkan beg duit milik wanita berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila remaja itu yang juga saksi kejadian dikatakan ditampar oleh seorang suspek sebelum pergaduhan tercetus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, pemandu lori itu kemudian datang membantu sebelum tercetus pergaduhan antara mereka dengan beberapa lelaki lain.
Katanya, akibat kejadian itu, dua lelaki terlibat mengalami kecederaan parah selepas dipercayai dipukul menggunakan tangan dan kayu.
“Kedua-dua mangsa masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalam otak. Seorang mangsa turut menjalani pembedahan selepas mengalami pendarahan dalam otak selain patah tangan dan kaki kiri,” katanya.
Lee berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam kelibat beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan merusuh






