SEORANG penuntut universiti swasta didakwa di Mahkamah Majistret Jitra hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 14.63 kilogram (kg), minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Ishvherr Singh Jagjit Singh, 24, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri, lapor Harian Metro Online.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah itu ketika ditahan di sekatan jalan raya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala ke Malaysia dari arah Thailand pada 11.46 pagi, 15 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta disebat minimum 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Mahkamah kemudian dimaklumkan tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Nor Syaliati menetapkan tarikh 5 Oktober depan sebagai tarikh bagi serahan laporan kimia sebelum kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Media sebelum ini, melaporkan seorang penuntut lelaki sanggup menjadi ‘transporter’ untuk membawa masuk 14.63 kg bunga ganja bernilai RM1.17 juta dari negara jiran sebelum dicekup polis, minggu lalu.






