PENGGUNAAN teknologi dron membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 32 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara, Puchong, semalam.
Operasi pada jam 12 tengah hari itu dijalankan JIM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengesan serta menahan warga asing yang tinggal secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, penggunaan dron sebagai aset sokongan bertujuan memantau pergerakan selain mengenal pasti laluan serta lokasi persembunyian warga asing.
Menurut kenyataan itu, teknologi berkenaan turut meningkatkan keberkesanan operasi serta membantu anggota melaksanakan tindakan dengan lebih tersusun dan selamat.
“Semasa operasi dijalankan, beberapa warga asing dilihat cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi.
“Bagaimanapun, menerusi pemantauan udara menggunakan dron, pergerakan mereka berjaya dikesan dan tindakan segera diambil bagi menghalang cubaan meloloskan diri,” menurut kenyataan itu.
Operasi tersebut melibatkan seramai 46 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama tujuh pegawai KPDN Putrajaya.
Hasil pemeriksaan ke atas 18 premis perniagaan serta 117 individu, seramai 32 warga asing dari Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi sama, sebanyak empat Borang 29 saman dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan manakala KPDN mengeluarkan tiga tindakan kompaun KOTS di bawah Akta Antipencatutan 2011 berjumlah RM600 kepada pemilik premis.
Kesemua warga asing berusia antara 22 hingga 43 tahun itu ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas di negara ini selain akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.






