DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya wujud arahan supaya menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan Felda.
Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Persekutuan hanya memberi tumpuan pelaksanaan projek di bawah bidang kuasanya di tanah rancangan berkenaan.
“Arahan (halang Onn Hafiz) tak ada. Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan.
“Negeri, dia buat kerja negerilah, apa nak riuh-riuh ini buat apa,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil di Dengkil hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Johor itu yang mendakwa beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda.
Onn Hafiz sebelum ini mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan Felda bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026.
Ini menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato’ Onn di Taman Sri Lambak, Kluang.
“Sesungguhnya pada petang ini, saya rasa sangat bersyukur. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana walaupun sepatutnya kita berjumpa dua hari lalu, diuji, disekat dan ditekan.
“Namun dengan takdir Allah SWT, kita tetap berjumpa walaupun lewat sedikit urusan. Saya ternanti-nanti nak berjumpa dengan satu kelompok yang kerajaan negeri anggap sebagai anak emas.
“Felda ialah anak emas Johor. Berjumpa dengan warga Felda di 73 tanah rancangan. Berjumpa dengan rakan di kawasan Parlimen Sembrong, Felda Bukit Tongkat, Ulu Belitong.
“Rupa-rupanya nak serahkan hak milik peneroka dalam kawasan Felda pun saya tak dibenarkan masuk. Pertama kali dalam sejarah hidup saya di Johor, Menteri Besar tak dibenarkan masuk ke kawasan Felda.
“Ini bukan salah pengurus. Saya ingat kita boleh buat program lain khas untuk menyerahkan hak milik peneroka,” katanya seperti dilaporkan.






