Kerajaan menetapkan ‘Kesejahteraan Dinikmati’ sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai identiti utama sambutan tahun ini.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema itu mencerminkan visi kerajaan untuk mewujudkan negara yang maju, inklusif dan harmoni dengan kesejahteraan dapat dirasai seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Menurut beliau, fokus utama tema berkenaan adalah memastikan kesejahteraan yang dibina negara bukan hanya dinikmati golongan tertentu, sebaliknya memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Tema ini memberi gambaran aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap individu dapat menikmati kesejahteraan secara menyeluruh.
“Kesejahteraan yang dimaksudkan bukan untuk kelompok tertentu sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi turut menyeru pengamal media memainkan peranan memperluaskan penyampaian tema sambutan HKHM 2026 supaya semangat penghayatannya dapat diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat.
Beliau berkata, kandungan yang berteraskan nilai kenegaraan dan semangat patriotisme perlu diperbanyakkan bagi menyemarakkan rasa cintakan negara serta memperkukuh jati diri nasional menjelang Bulan Kebangsaan.
Menurutnya, program dan aktiviti sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini tetap diteruskan secara meriah walaupun dilaksanakan dalam pendekatan yang lebih sederhana.
Mengulas mengenai sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, Fahmi memaklumkan acara utama akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
“Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya secara lebih sederhana tetapi tidak kurang kemeriahannya.
“Ada beberapa elemen dan kelainan yang akan ditampilkan, namun mungkin terlalu awal untuk dikongsikan. Insya-Allah sambutan kali ini akan menarik,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut berkaitan program sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia boleh diperoleh menerusi saluran rasmi Portal Merdeka 360.
Fahmi turut mengajak seluruh rakyat menghayati tema ‘Kesejahteraan Dinikmati’ dengan memperkukuh semangat perpaduan serta mensyukuri keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang dinikmati negara ketika ini.
Katanya, perpaduan yang kukuh menjadi asas penting dalam memastikan negara terus fokus kepada agenda pembangunan dan pengurusan yang berkesan dalam mendepani cabaran serta ketidaktentuan global semasa.






