KERAJAAN masih meneliti beberapa cadangan susulan mesyuarat penyelarasan melibatkan isu komuniti Rohingya di negara ini dan belum membuat sebarang keputusan untuk diumumkan setakat ini.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini membincangkan hasil mesyuarat penyelarasan yang diadakan minggu lalu membabitkan pelbagai kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkaitan.
Menurut beliau, mesyuarat itu diadakan susulan perbincangan terdahulu bagi mendapatkan hala tuju lebih menyeluruh sebelum sebarang tindakan diputuskan kerajaan.
Katanya, antara agensi yang terbabit termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor serta beberapa kementerian dan jabatan lain.
“Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan hasil daripada mesyuarat tersebut dan Perdana Menteri mengarahkan supaya KDN meneliti beberapa dapatan yang diperoleh.
“Perkara itu juga perlu diselaraskan bersama kementerian berkaitan termasuk Kementerian Luar serta agensi penguat kuasa bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya cadangan yang dipertimbang membabitkan aspek pendaftaran atau perkara berkaitan pengurusan komuniti terbabit, pelaksanaannya perlu diselaraskan secara menyeluruh termasuk dengan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Fahmi, proses penelitian itu masih berjalan dan tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini.
“Perbincangan akan diteruskan dalam masa terdekat dan tiada sebarang keputusan khusus untuk diumumkan pada hari ini,” katanya.






