Petronas diperkasa di pentas global hasil lawatan PM ke Turkmenistan

LAWATAN kerja Perdana Menteri ke Kazan, Rusia dan Ashgabat, Turkmenistan disifatkan membawa pulangan strategik kepada negara terutama dalam aspek keterjaminan tenaga serta pengukuhan kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua lawatan berkenaan menghasilkan perkembangan penting yang dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, lawatan ke Kazan membuka ruang kepada kerjasama strategik menerusi satu perjanjian membabitkan bekalan minyak mentah, gas dan diesel untuk tempoh jangka panjang selama 20 tahun.

Katanya, kerjasama itu dilihat mampu memperkukuh aspek keterjaminan tenaga negara pada masa depan.

“Bagi lawatan ke Kazan, antara hasil yang dicapai adalah perjanjian berkaitan bahan tenaga merangkumi minyak mentah, gas dan diesel untuk tempoh jangka panjang.

“Ini memberikan kelebihan kepada negara dari segi keterjaminan tenaga dan kestabilan bekalan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Mengulas lawatan ke Ashgabat, Fahmi berkata, kejayaan memperoleh hak mengusahakan dua telaga gas oleh Petronas merupakan pencapaian besar yang mengukuhkan kedudukan syarikat tenaga nasional itu sebagai antara pemain utama industri gas dunia.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan bukan sahaja hasil pengalaman lebih 30 tahun Petronas beroperasi di Turkmenistan, malah dijangka memberi pulangan kepada negara menerusi dividen yang boleh dimanfaatkan untuk agenda pembangunan.

“Kejayaan ini amat membanggakan kerana hasil daripada usaha Petronas akan memberi manfaat kepada rakyat melalui pulangan ekonomi dan dividen kepada negara.

“Ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Petronas sebagai antara pengusaha gas terbesar di dunia,” katanya.

Fahmi berkata, perkembangan positif dalam sektor tenaga itu turut dilihat selari dengan langkah kerajaan mengumumkan penurunan harga diesel pada 21 Jun lalu.

Menurut beliau, ketiga-tiga perkembangan itu iaitu jaminan bekalan tenaga, peluang mengusahakan telaga gas berskala besar dan penurunan harga diesel dijangka memberi impak positif kepada ekonomi rakyat.

“Insya-Allah, semua perkembangan ini akan memberikan kesan yang baik kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img