POLIS menahan seorang guru bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki sebuah sekolah di Temerloh, baru-baru ini.
Suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada 16 Jun lalu dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam perbuatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat ibu remaja lelaki berusia 14 tahun itu pada 15 Jun lalu.
“Berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa suspek melakukan gangguan amang seksual terhadapnya sejak tahun lalu di sebuah rumah di kawasan Kuala Krau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika disabitkan dengan kesalahan.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk arahan lanjut sebaik siasatan dilengkapkan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang sedang disiasat itu.
Terdahulu, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial yang membangkitkan dakwaan berhubung kejadian berkenaan dan mengesahkan siasatan telah dijalankan.






