SALAH faham dalam urusan penghantaran makanan serta tindakan pelanggan yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk dikenal pasti sebagai punca seorang penghantar makanan dipukul ketika menghantar pesanan di Kelana Jaya, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku susulan salah faham antara mangsa dan suspek ketika proses penghantaran makanan.
“Selain itu, kita juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Man memaklumkan dia menerima tempahan daripada sebuah restoran makanan segera di stesen minyak di SS6, Kelana Jaya pada jam 4.45 pagi untuk dihantar ke sebuah premis di Taman Rasa Sayang.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa gagal menemui premis yang dimaksudkan sebelum menghubungi pelanggan untuk mendapatkan lokasi sebenar.
Menurut mangsa, pelanggan tidak menjawab pertanyaannya sebaliknya hanya berulang kali bertanya sama ada dia sudah sampai di bawah premis sebelum menamatkan panggilan.
Mangsa kemudian cuba menghubungi semula pelanggan namun dimarahi kerana menunggu di hujung deretan kedai sedangkan kawasan berkenaan gelap dan menyukarkan proses pencarian lokasi.
Polis berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.






