Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui keputusan rayuan akhir terhadap pembebasannya esok dalam kes membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Prosiding rayuan pendakwaan itu sebelum ini berlangsung selama dua hari dan selesai dihujahkan pada 12 Disember 2025.
Keputusan dijangka disampaikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada jam 9 pagi yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais serta Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Dalam perkembangan yang jarang berlaku, semasa prosiding rayuan pada 12 Disember lalu, mahkamah memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan.
Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan menerusi surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa rayuan akan diteruskan dan pihak pendakwaan bersedia menerima keputusan mahkamah.
Terdahulu, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.
Susulan keputusan itu, AGC memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sehari kemudian.
Berdasarkan pertuduhan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah membabitkan dana RM1 juta milik Armada di sebuah bank di KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise selain dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Sekiranya rayuan pendakwaan dibenarkan, sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini boleh dikembalikan, manakala jika ditolak, Syed Saddiq akan kekal bebas daripada semua pertuduhan.






