Urus niaga diesel tanpa lesen, lelaki didenda RM10,000

CUBAAN menjalankan urus niaga minyak diesel tanpa lesen yang sah membawa padah apabila seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu dalam tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu.

Abdul Salam Ismail, 36, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain atas pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Menurutnya, tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.

Beliau berkata, berdasarkan fakta kes pada 19 April lalu, tindakan diambil susulan risikan sebelum sepasukan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menjalankan pemeriksaan di kawasan parkir Jalan Tugu.

“Hasil pemeriksaan menemukan 186 liter minyak diesel disimpan dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang diletakkan di bahagian belakang sebuah Toyota Hilux Rocco.

“Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen yang sah untuk menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan barang kawalan iaitu minyak diesel bernilai RM774.09 dijadikan hasil Kerajaan Malaysia.

Mahkamah turut melucuthakkan semua barang yang disita kepada kerajaan kecuali kenderaan yang dipulangkan kepada pemilik berdaftar.

Shahril Nizam berkata, bagi kesalahan itu, Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Katanya, KPDN Sabah akan terus memperhebat penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang layak.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Selain hukuman denda dan penjara, tindakan lucut hak terhadap barang sitaan termasuk kenderaan juga boleh dikenakan sebagai langkah tegas membendung aktiviti ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img