Rampasan rokok putih terbesar tahun ini, JKDM Johor sita RM13.4 juta

CUBAAN menyeludup rokok putih bernilai RM13.4 juta termasuk duti dan cukai berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), 8 Jun lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 2.30 petang hasil pemeriksaan sepasukan anggota Unit Kawalan Kontena (CCU), Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di sebuah gudang dalam Kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil risikan Cawangan Risikan Zon Selatan dengan kerjasama wakil syarikat penghantaran.

“Berdasarkan semakan awal, kontena berukuran 12.2 meter itu diikrarkan melalui Borang Kastam No. 6, Manifest Transhipment sebagai membawa dagangan Photovoltaic System Components.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada satu pun barang dalam kontena itu seperti yang diikrarkan,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kontena terbabit dipercayai dihantar dari China dan sedang dalam perjalanan ke destinasi akhir di Lisbon, Portugal.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 12,000,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM4.8 juta.

“Anggaran duti dan cukai yang terbabit pula sebanyak RM8.664 juta menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM13.464 juta,” katanya.

Aminul Izmeer berkata, sindiket dipercayai menggunakan taktik membuat pengikraran palsu terhadap jenis dagangan bagi mengaburi pihak berkuasa dan meloloskan rokok tidak berkastam.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati rokok yang dirampas itu bukan untuk pasaran tempatan.

Katanya, JKDM akan terus memperkukuh risikan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara serta menjejaskan integriti perdagangan antarabangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img