SEORANG penyeludup melarikan diri selepas meninggalkan kereta dipandunya yang membawa 3,000 batang rokok putih seludup dalam kejadian di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila anggota Batalion 8 PGA (PGA8) mengesan sebuah Proton Wira Aeroback dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Pulau Ular.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu terbabit memecut kenderaan ke arah kawasan semak di Kampung Kok Pauh sebelum meninggalkan kereta dan melarikan diri.
“Anggota cuba mengejar dan menjejaki suspek namun gagal.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui sejumlah kotak di dalam bonet yang mengandungi 3,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM5,610,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bekalan rokok putih itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran sekitar Kota Bharu.
Katanya, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.






